SEJARAH SEKOLAH

       
         Sekolah Menengah Kebangsaan Adela (SEMEKA), Kota Tinggi telah ditubuhkan dalam tahun 1982 sebagai cawangan kepada Sekolah Menengah Tanjung Datuk, Pengerang sehingga tahun 1983. Sekolah ini terletak kira-kira 65km dari Bandar Kota Tinggi dan merangkumi kawasan seluas 25 hektar. Selama berada di bawah naungan sekolah induk (Sekolah Menengah Tanjung Datuk), sekolah ini ditadbir oleh seorang penyelia iaitu Encik Mohd Saat bin Hj. Abd. Latif. Semenjak penubuhannya, SEMEKA telah dipimpin oleh 14 orang pengetua iaitu :

1. En. Mohd Saat bin Hj. Abd Latiff (1983-1984)
2. En. Mashot bin Hj. Idun (1984-1991)
3. En. Jamale bin Paiman (1991)
4. Tn. Hj. Mahjon bin Hj. Sarwen (1991-1992)
5. En. Abdul Wahid bin Saman (1992)
6. Tn. Hj. Sulaiman bin Hj. Mohd Dom (1992-1994)
7. Tn. Hj. Zakaria bin Ahmad (1994-1995)
8. En. Mohamad bin Mahadi (1995)
9. Tn. Hj. Wan Mahmood bin Wan Yusoff (1995-1997)
10.Pn. Hjh Halimah binti Shaaban (1997-1998)
11.Tn. Hj. Sufaat bin Tumin (1998-2001)
12.Tn. Hj. Sulaiman bin Hj. Abdul Samad (2001-2003)
13.En. Senevahsan Naidu (2003-2005)
14.Pn. Sarilah binti Ngadino (2005-2006)
15.En. Mohamad bin Md. Salleh (2006 hingga kini)

         Kewujudan sekolah ini adalah atas desakan masyarakat setempat yang mahukan anak-anak mereka bersekolah di kawasan ini. Pada peringkat awalnya, sekolah ini kekurangan alatan dan sanitasi asas tetapi dengan kerjasama sekolah induk dan Pejabat Pelajaran Daerah, kekurangan ini dapat diatasi. Mulai 1 Januari 1984, sekolah ini ditadbir oleh seorang pengetua iaitu En. Mashot bin Hj. Idun, di bawah nama Sekolah Menengah Rendah Adela. Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Adela diambil sempena nama Gugusan Felda Adela, yang mengandungi empat tanah rancangan semuanya iaitu LKTP Adela, LKTP Sening, LKTP Kledang dan LKTP Tunggal.

         Pada keseluruhannya, pelajar-pelajar di sekolah ini datang dari tiga sekolah punca iaitu Sekolah Kebangsaan LKTP Adela, Sekolah Kebangsaan LKTP Kledang dan Sekolah Kebangsaan LKTP Sening serta beberapa buah sekolah kebangsaan di luar gugusan seperti Sekolah Kebangsaan Pasir Gogok dan Sekolah Kebangsaan Sungai Papan.

         Sehingga tahun ini, sekolah ini telah menguruskan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebanyak tujuh kali dari tahun 1984 hingga 1992 dan pada tahun 1993 hingga kini, sekolah ini telah menguruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

         Mulai tahun 1987, tingkatan 4 Sastera yang pertama telah diwujudkan dan sekaligus menaikkan taraf dari Sekolah Menengah Rendah kepada Sekolah Menengah Gred A. Mulai tahun 1997, Sekolah Menengah Adela dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Adela (SEMEKA).

         Pada tahun 1988, kumpulan pertama pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menjadi perintis ke arah kejayaan yang lebih baik dengan 3 orang mendapat pangkat 1, 7 orang mendapat pangkat 2, dan 43 orang mendapat pangkat 3. Kejayaan yang paling membanggakan sekolah ini ialah pada tahun 1996, apabila 81 orang mendapat pangkat 1.

         Pada tahun 2002, SEMEKA telah mendapat kemudahan dewan yang dinamakan dewan SRI SEMEKAR. Dewan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Johor pada bulan Mei.